Blog ini akan membicarakan tentang naskah saya dan juga manuskrip yang akan datang. Juga andai ada kesempatan saya akan meletakkan reviu naskah yang saya baca. Berbicara dalam kelembutan itu bagai air yang tenang sedang mengalir menuju muara
Saturday, December 7, 2013
Naskah dari hati - Impikan Mentari
Naskah yang penuh makna. Menggarapnya bagaikan membuka hijab yang selama ini saya sembunyikan jauh disudut hati. Ya, benar. Ketika melakarkan watak Izzati saya sering terhanyut dalam mainan perasaannya. Ketabahannya, kekuatannya, kekecewaannya, kesedihannya. kerapkali airmata ini menitis tanpa sedar. Pernah hampir meletakkan noktah. tidak mampu untuk terus menekan lagi huruf-huruf, menyusun baik menjadikannya satu naskah. Tapi, tiba-tiba hati ini terdetik. tatkala membaca status seorang teman diFB yang menempah jam tangan untuk suaminya dari luar negara, membuatkan saya cemburu. Ya, kerana saya tak mampu untuk berbuat begitu pada suami saya. lalu akal saya berfikir, apakah hadiah yang paling berharga?
Ya, inilah. hadiah saya buat suami yang telah melewati saat-saat getir itu. Kami sama-sama menangis. kami sama-sama tertawa. Alhamdulillah, tangannya sentiasa menggenggam tangan ini untuk mengatur langkah seterusnya walaupun awan mendung itu masih melingkari. Pada saya, inilah hadiah yang amat bermakna kerana tiap bait yang terlakar adalah cerita hati saya.
Kisah Izzati & Ikhman yang terangkum didalam ini adalah gambaran dalam satu ikatan yang bernama perkahwinan. Saat lafaz ijab dan kabul itu terluncur, maka terpikullah satu amanah dari Allah untuk kita melayari kehidupan berdua. Bukan mudah menentang badai yang melanda. Tapi, tatkala genggaman erat ini tersimpul utuh, datanglah walau apajua, pasti akan dapat diharungi dengan tabah.
Ketika melakarkan kisah ini, satu ayat yang kerap menyapa minda. Semudah menyimpul ikatan dengan lafaz keramat itu, semudah itu jugalah untuk kita meleraikannya. Satu yang menjadi pertahanan, persefahaman dan kasih sayang. Rasa cinta yang tiada sempadan dan menerima pasangan dengan lapang hati. Pasti ikatan yang terjalin tidak mampu lerai dengan mudah kerana setiap dugaan dan ujian itu datangnya dari Allah.
Dan, saya berharap agar kekuatan kasih dan cinta Izzati & Ikhman dijadikan contoh untuk kita terus mempertahankan ikatan yang dianugerahkan Allah ini.
Susun dan cantumlah bongkah-bongkah mimpi itu agar menjadi tembok yang kukuh dan utuh. Lalu, ukirkanlah apa yang sedang bersenandung dalam jiwa kerana setiap lakaran itu adalah cerita tentang kehidupan dan cinta.
Salam sayang,
shahzy hana
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment